TalentCorp lancar kohort terbesar program WIN dengan 500 penyertaan

KUALA LUMPUR: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), melancarkan kohort terbesar program Women Industry Network (WIN) di bawah inisiatif Wanita MyWira, melibatkan penyertaan wanita muda Malaysia bagi memperkukuh barisan kepimpinan wanita masa depan negara.

Utusan Borneo Online

7/8/20262 min read

Biruntha Mooruthi bersama peserta Women Industry Network (WIN) Kohort Ke-12 pada majlis pelancaran p
Biruntha Mooruthi bersama peserta Women Industry Network (WIN) Kohort Ke-12 pada majlis pelancaran p

KUALA LUMPUR: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), melancarkan kohort terbesar program Women Industry Network (WIN) di bawah inisiatif Wanita MyWira, melibatkan penyertaan wanita muda Malaysia bagi memperkukuh barisan kepimpinan wanita masa depan negara.

Program bimbingan selama lima minggu yang dilancarkan secara rasmi pada 27 Jun lalu di IDCC Shah Alam itu menghimpunkan 500 peserta terpilih daripada lebih 700 permohonan, sekali gus menjadikannya kohort WIN terbesar sejak program tersebut diperkenalkan pada tahun 2021.

Kohort berkenaan terdiri daripada pelajar tahun akhir universiti, graduan baharu serta profesional muda daripada lebih 50 universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kolej vokasional di seluruh negara.

Sepanjang program, peserta dibimbing oleh 61 mentor yang terdiri daripada pemimpin dan profesional berpengalaman daripada pelbagai industri bagi memperoleh pendedahan kerjaya, panduan praktikal serta peluang memperluaskan jaringan profesional. Majlis konvokesyen WIN Kohort Ke-12 dijadual berlangsung pada 27 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp Biruntha Mooruthi berkata, usaha memperkasa wanita untuk berjaya dalam kerjaya merupakan keutamaan penting dalam memperkukuh kumpulan bakat negara serta meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia bagi jangka panjang.

"Malaysia tidak akan dapat merealisasikan sepenuhnya potensi bakat negara sekiranya wanita masih berdepan halangan untuk maju dalam kerjaya dan mendapat akses kepada peluang kepimpinan. Melalui WIN, kami menghubungkan bakat muda dengan pemimpin industri berpengalaman yang dapat memberi bimbingan, dorongan dan pandangan praktikal bagi membantu lebih ramai wanita membina kerjaya yang bermakna, mampan dan berdaya saing.

"Sebagai badan pemikir strategik KESUMA, TalentCorp komited untuk menterjemahkan keutamaan tenaga kerja negara kepada inisiatif yang praktikal dan memberi impak kepada pembangunan bakat Malaysia. WIN mencerminkan keyakinan kami bahawa apabila wanita diberi peluang, sokongan dan jaringan yang tepat, mereka akan lebih bersedia untuk memimpin, berinovasi dan menyumbang kepada pertumbuhan masa depan negara," katanya.

Program WIN memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kebolehpasaran, selain mendedahkan peserta kepada perspektif industri serta realiti dunia pekerjaan bagi membantu mereka membina kerjaya yang mampan.

Inisiatif itu turut memberi penekanan kepada penyertaan wanita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), TVET serta sektor teknikal, sejajar aspirasi Kerajaan MADANI untuk meningkatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (FLPR) kepada 60 peratus menjelang 2030 di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, WIN berkembang sebagai platform nasional yang menghubungkan wanita profesional dengan pemimpin industri, pengamal sumber manusia, jurulatih eksekutif serta pemimpin wanita berpengalaman bagi membantu mereka membina keyakinan dan mengembangkan kerjaya.

Alumni WIN Kohort Pertama yang juga Pengarah Urusan Bayu Ignitra Sdn Bhd Yang Arnieda Azaman berkata, program itu menjadi titik perubahan dalam perjalanan kerjayanya selepas melalui tempoh rehat daripada dunia pekerjaan.

"WIN menjadi titik perubahan dalam perjalanan kerjaya saya. Melalui bimbingan dan sokongan komuniti, saya dapat membina semula keyakinan, memperkukuh kemahiran komunikasi dan kembali berani untuk memimpin. Hari ini, saya memimpin syarikat sendiri dan berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk bangkit semula dalam kerjaya mereka," katanya.

Sementara itu, alumni WIN Kohort Ke-11 yang juga pelajar bidang STEM Lye Kemin berkata, program tersebut membantunya melangkah ke alam profesional dengan lebih yakin.

"Kesan terbesar WIN kepada saya ialah perubahan minda daripada rasa ragu-ragu kepada keyakinan untuk memimpin. Melalui sokongan mentor dan komuniti wanita yang positif, saya lebih bersedia untuk melangkah daripada alam pengajian ke dunia profesional," katanya.

TalentCorp memaklumkan pihaknya akan terus memperkukuh rangkaian alumni WIN, memperluaskan kerjasama bersama industri serta meneroka lebih banyak program susulan termasuk lawatan industri, sesi jaringan wanita, pendedahan kepada sektor berpertumbuhan tinggi dan peluang kepimpinan komuniti bagi memperluaskan pembangunan kerjaya wanita di negara ini.

Sumber Artikel: Utusan Borneo Online